Tuesday, November 29

KUASA HIJRAH, KUASA UNTUK BERUBAH


"Hijrah itu pengorbanan, Hijrah itu perjuangan, Hijrah itu persaudaraan, Hijrah membentuk perpaduan"

Sebaris lirik yang tidak asing lagi bagi kita setiap kali menjelangnya tahun baru Hijrah.
Tahun ini genaplah 1433 tahun hijrah Rasulullah s.a.w dari Makkah al-Mukarramah ke kota Madinah al-Munawwarah.
Apabila berbicara perihal Hijrah Rasulullah s.a.w, kita tidak akan lari daripada membicarakan tentang sirah. Apabila kita membicarakan perihal sirah, kita sebenarnya sedang membicarakan tentang panduan atau manual yang Allah sajikan kepada kita; umat yang terkemudian sebagai rujukan untuk meneruskan sisa-sisa zaman yang masih berbaki memandangkan Rasulullah s.a.w tidak lagi bersama-sama kita pada hari ini.

Dengan kata mudah, peristiwa hijrah ini merupakan hikmah yang harus diterokai sebagai pedoman buat generasi seterusnya. 

Persoalannya, sejauh manakah kita mampu merungkai hikmah yang terkandung dalam peristiwa hijrah yang telah pun berlalu 1433 tahun yang lalu. Adakah hijrah hanya sekadar peralihan fasa dari satu tahun ke satu tahun seterusnya? Atau mungkin sekadar mainan di bibir tatkala 1 Muharam menjelang tiba? Atau lebih malang lagi tahun baru Hijrah tidak langsung dirasai kehadirannya.

Tepuk dada, tanya taqwa. Maka, tidak dapat tidak pada hari ini kita seharusnya mengambil intipitati yang tersirat di sebalik peristiwa besar dalam sejarah Tamadun Islam ini sebagai pedoman dalam proses membina peribadi mukmin yang sejati. Jika sebelum ini kita mungkin merasakan diri ini penuh dengan sifat-sifat mazmumah, maka sempena tahun baru hijrah kali ini jadikan tahun ini sebagai titik mula kepada perubahan ke arah kebaikan. Sememangnya dalam proses untuk menjadi lebih baik pastinya ujian akan menghampiri. Firman Allah; 

Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan sahaja mengatakan; "Kami telah beriman sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya Kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta. -(Surah Al-Ankabut, ayat 2 & 3)

Oleh itu, bergembiralah wahai teman tatkala diri ini diuji. Sesungguhnya ujian Allah itu adalah tanda kasihNya kepada hambanya. Apa yang perlu kita lakukan adalah redha dengan ujianNya, bersabar, istiqamah dalam melakukan perubahan, dan bertawakkallah setelah berusaha. Kesemua tindakan ini haruslah disinergikan dengan niat yang ikhlas kerana Allah ta'ala. Inilah antara ramuan yang diperlukan dalam proses penghijrahan diri ke arah yang lebih baik. Insyaallah, moga Allah permudahkan urusan kita di dunia dalam menegakkan kalimahNya dan juga di akhirat dalam mengahrapkan rahmatNya yang agung.

“Sesungguhnya orang mukmin apabila melakukan dosa bererti ia membuat noda dengan sebuah titik hitam di dalam hatinya. Apabila ia bertaubat, meninggalkan perbuatannya, dan memohon ampun kepada Allah, maka hatinya jernih kembali. Tetapi apabila ia menambah dosanya, maka bertambah pulalah titik hitam itu hingga menutupi seluruh hatinya.” - (Hadis Riwayat Ahmad)


Salam Maal Hijrah 1433


Al-faqir ila Rabbi, Mohamad Ezuan Mohd Saad
MPP Fakulti Sains Sosial & Kemanusiaan / Setiausaha Agung PMUKM

No comments:

Post a Comment

back to top