Tuesday, November 1

SEKSUALITI MERDEKA : ANTARA HAK DAN RETORIK


Oktober 2011 melabuhkan tirainya dengan penuh kontroversi apabila satu isu sosial telah menghambat sensitiviti masyarakat kita. Bertemakan "Queer Without Fear", program ini dilihat berjaya menarik perhatian ramai pihak sama ada di peringkat marhaen mahupun pimpinan negara.



Saat ramai yang menghentam dan tidak kurang juga yang menyokong, saya ingin mengajak rakan-rakan sekalian untuk mengimbau kembali sejarah perkembangan falsafah di Yunani suatu ketika dahulu supaya kita dapat mengambil ibrah (pengajaran) bersama.


Siapa tidak kenal akan tokoh agung falsafah Yunani kuno, Socrates yang mati akibat meminum racun semata-mata hendak mempertahankan bahawa kebenaran bersifat mutlak.

Pada zaman beliau, munculnya suatu kumpulan ahli falsafah yang digelar Sophists, menyatakan bahawa manusia adalah pengukur kepada semua perkara.

Doktrin ini tidak dapat diterima kerana ia menghancurkan nilai dan sistem moral serta spiritual masyarakat. Implikasi daripada doktrin kumpulan ini menyatakan bahawa manusia yang menentukan baik buruk sesuatu, tidak ada kebaikan mutlak, semuanya bersifat relatif, bergantung kepada mereka yang menilai. Kebenaran disandarkan kepada retorik (Siapa yang berjaya memanipulasikan kata dia adalah benar).

Kematian Socrates merupakan satu permulaan besar bagi perkembangan ilmu mantik. Beliau melahirkan seorang anak murid yang hebat, Plato.
Plato telah  menyusun ilmu mantik dan meletakkan ilmu retorik di bawah ilmu mantik. Bagi menewaskan pandangan golongan Sophists, beliau telah mencari kelemahan golongan Sophist. Beliau telah berjaya mempengaruhi pemikiran masyarakat ketika itu dengan menggunakan pendekatan yang digunakan oleh golongan itu sendiri iaitu 'kebenaran bersifat relatif'. Sebagai golongan aristokrat, golongan sophist merupakan golongan yang memiliki harta yang banyak, rumah yang besar, dan isteri yang cantik.


Diringkaskan cerita, Plato berjaya memanipulasi pemikiran golongan bawahan sehingga sampai satu tahap rakyat marhaen pada ketika itu mencuri harta golongan aristokrat kerana bagi mereka kebenaran itu bersifat relatif, "hari ini mungkin harta golongan aristokrat tetapi mungkin menjadi harta mereka pada esok hari kerana pada pandangan mereka esok hari harta itu adalah harta mereka".


Keadaan ini menyebabkan kedudukan golongan Sophist terancam yang akhirnya mereka terpaksa menerima bahawa kebenaran bersifat mutlak dan meletakkan ilmu retorik dibawah ilmu mantik.


Apa yang dapat saya kaitkan antara kisah ini dengan situasi semasa ialah untuk membenamkan sesuatu yang batil tidak dapat tidak mestilah dengan ILMU. Sebagai mahasiswa, kita mestilah memperkasakan diri dengan ilmu pengetahuan yang pelbagai supaya diri kita senantiasa bersiap siaga untuk menempuhi cabaran dalam dunia yang penuh dengan fitnah ini. Sekiranya kita gagal mempersiapkan diri, maka jadilah kita golongan yang tidak ubah seperti sophists tadi, hanya sembang sahaja lebat, tapi tidak faham makna hak yang sebenar dan akhirnya menjadi golongan yang sesat lagi menyesatkan.

Akhir kalam, sesungguhnya Islam tidak menyekat hak asasi manusia tetapi ia hendaklah selari dengan hak asasi Pencipta alam ini iaitu Allah SWT.

Wallahu a'lam.


Mahasiswa Memacu Perubahan
Islam Asas Pegangan

No comments:

Post a Comment

back to top