Sunday, March 4

ROYALTI BEBASKAN BEBANAN PTPTN GRADUAN

KOTA BHARU, 4 Mac: Graduan lepasan universiti di Kelantan yang kini dibebani pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) boleh menarik nafas lega apabila bebanan mereka bakal dilangsaikan hasil royalti minyak.

Sejak 1997 sehingga tahun lepas lebih 93,000 anak Kelantan yang dibebani dengan hutang pinjaman PTPTN berjumlah RM3.3 bilion.Pengerusi Jawatankuasa Perancangan Ekonomi, Kewangan dan Kebajikan, Datuk Husam Musa berkata, berdasar kepada tunggakan bayaran royalti petroleum sejak 2005 sehingga sekarang, Kelantan sepatutnya mendapat RM4.2 bilion.

Katanya, setiap tahun lebih 6,000 anak Kelantan berjaya mendapat tempat di universiti atau institusi pengajian tinggi, di mana setiap seorang akan menanggung purata hutang pengajian sebanyak RM35,000.

“Ini bermakna setiap tahun sebanyak RM220 juta hutang pengajian yang terpaksa ditanggung anak-anak Kelantan yang belajar di universiti.

“Sedangkan royalti minyak yang sepatutnya dibayar kepada Kelantan setiap tahun sebanyak RM500 juta,” katanya menjawab soalan Abdullah Ya’kob (PAS-Air Lanas) pada persidangan Dun hari ini.

Menurutnya minyak dan gas dikeluarkan dari Medan PM301 iaitu di Bumi Selatan bermula pada 2005.

Kata Husam kemungkinan tempoh tersebut boleh diambil kira untuk membantu pelajar yang dibebani hutang PTPTN.

Beliau juga berkata, graduan-graduan anak Kelantan sudah mendapat maklum mengenai cadangan tersebut sehingga ada facebook khas diwujudkan bagi tujuan itu.



“Biar pun Umno kata cadangan berkenaan hanya sebagai rekaan politik, namun pelajar-pelajar telah memberi respon positif,” katanya.

Beliau juga memberitahu sekiranya Pakatan Rakyat menguasai Putrajaya pada pilihan raya umum ke-13, kakitangan kerajaan berpeluang mendapat pinjaman membiayai pembelian rumah dan kenderaan tanpa sebarang faedah.

Menurutnya sekarang kerajaan BN mengenakan kadar faedah sebanyak 4 peratus bagi setiap pinjaman.

“Kita boleh laksanakan skim pinjaman tersebut tanpa dikenakan sebarang faedah seperti yang telah diamalkan di Kelantan sejak 1990.



“Biar pun tidak dikenakan sebarang caj, namun kewangan kerajaan Kelantan tidak terjejas,” ujarnya.

- Harakah Daily

Ezuan : Tak berhenti mengharap..

No comments:

Post a Comment

back to top