Friday, April 13

DA'I (الداعي) & CABARAN JAHILIYYAH MODEN BHG.1

*Ceramah ini telah disampaikan dalam KULIYYAH BULANAN BADAR SASER di Sekolah Menengah Sains Seremban pada 12 April 2012
oleh : Mohamad Ezuan Bin Mohd Saad


DA'I
..man qala lailahaillallah, fahua da'i..

Apakah sifat-sifat seorang da'i Islam yang sejati? :

D - Dadanya diisi dengan ilmu

Mana mungkin seseorang yang tidak memiliki sesuatu mampu untuk memberikan sesuatu. Begitu juga para du'at. Mana mungkin da'i yang tidak mempunyai ilmu mampu untuk menyeru mad'u atau sasaran dakwah dengan berkesan. Oleh itu, setiap daripada kita wajib memperkayakan diri dengan pelbagai bidang ilmu supaya dakwah yang diseru lebih bersifat mencapah, terbuka, dan sasaran dakwah lebih luas. Namun, bukanlah sebagai alasan yang menghadangi seseorang itu daripada melakukan gerak kerja dakwah seandainya merasakan diri tidak mempunyai ilmu yang tinggi. Hal ini kerana setiap daripada kita mempunyai potensi masing-masing yang perlu digilap dan perlu dipertingkatkan. Oleh itu, memperkayakan diri dengan ilmu merupakan suatu tuntutan yang perlu dipenuhi oleh setiap insan yang bergelar da'i.

A - Agama menjadi asas pegangan dalam kehidupan

Seorang da'i merupakan insan yang menjadikan agamanya sebagai acuan hidup. Tidak mudah terpengaruh dengan segala bentuk pemikiran (isme) atau ghuzwatul fikr. Setiap perinci hidupnya adalah Islam, setiap perilakunya disandarkan kepada Islam. Da'i ini merupakan 'model' yang menterjemahkan Islam dalam bentuk pengamalan. Maka dalam menterjemahkan Islam dalam pengamalan mestilah meletakkan dua sandaran utama sebagai panduan. Sebagaimana yang telah disabdakan oleh Rasulullah s.a.w :
"Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku. Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku." (HR Imam Muslim dari Jabir (2/240), Sunan Abu Daud 1825 dan lain-lain. Kisah yg mutawatir dan disaksikan lebih dari 100,000 jema’ah Haji) 

I - Istiqamah dalam melaksanakan tanggungjawab dakwah

Dalam usaha memakmurkan setiap penjuru Bumi Allah S.W.T dengan Islam, para du'at tidak dapat lari daripada dihujani dengan pelbagai bentuk mehnah dan tribulasi. Inilah yang dikatakan rencah dalam dunia para du'at. Adakalanya diri kita berasa sangat bersemangat dalam menempuhi segala rintangan yang menghalang dan adakalanya ujian datang melanda, hati ini terasa sangat lemah mengenangkan usaha dakwah yang dilakukan kurang mendapat sambutan daripada kalangan mad'u. Ini lumrah! Kerana kita semua manusia biasa yang mana imannya yazid wa yanqus (iman yang naik turun). Maka, dalam memastikan diri istiqamah, sejauh mana kebergantungan para du'at kepada Allah menjadi tali yang menetapkan hati mereka dalam jalan dakwah. Bukan persoalan 'bila' kita bermula, tetapi 'sampai bila' kita mampu bertahan dalam jalan dakwah ini. Maka, sifat istiqamah merupakan perisai yang amat mahal harganya pada masakini buat para du'at.

Wallahu a'lam.
bersambung...

Bersama Melangkah Menginspirasi Ummah

No comments:

Post a Comment

back to top