Monday, December 31

2013 : REVOLUSI (REPOST)

Sesungguhnya segala puji dan puja hanyalah milik Allah s.w.t., pemilik sekalian alam. Tuhan yang mengurniakan segala nikmat yang paling tuntas, nikmat Iman dan nikmat Islam. Selawat dan salam ke atas junjungan, ar-Rasul S.A.W yang telah menunjukkan kepada kita keteladanan yang paling mulia melalui jalan dakwah Islamiyyah, seorang tokoh perubahan yang mendobrak kegelapan dan kejahilan jahiliyyah, melakar sebuah ketamadunan, model terbaik buat pejuang, cerminan terbaik kepada ummah tercinta. Tidak lupa kepada para jundullah yang telah memahat lekukan sejarah dengan kubangan darah, lelehan keringat dan air mata untuk menyajikan dunia yang indah untuk kita nikmati.

Tahun 2012 baru sahaja melabuhkan tirainya dengan tercoretnya pelbagai lukisan sejarah untuk kita kenang kembali, untuk kita rujuk kembali, dan untuk kita muhasabah bersama. Membuka tirai 2013, tahun ini dengan laungan takbir dan doa bergema di angkasaraya membuatkan diri ini tertarik untuk menyingkap kembali tirai 2012 yang baru sahaja berlabuh sebagai buah muhasabah untuk lonjakan perubahan yang lebih bersinergi buat tahun baharu ini. Sungguhpun hanya satu tahun sahaja jarak masa yang memisahkan antara kedua-dua tempoh masa tersebut namun perubahan yang berlaku memberi gambaran betapa 2012 telah mengalami satu anjakan perubahan yang maha dahsyat. Pesta maksiat bersaiz mega dianjurkan tanpa sekelumit rasa dosa. Anak remaja terkinja-kinja. Ibu bapa juga turut serta memberi sokongan bersama. Hal ini saya kira bukan lagi persoalan rosaknya anak muda zaman kini tetapi lebih tepat jika saya katakan bahawa hancurnya umat diakhir zaman ini.

Tinjauan demi tinjauan dari tahun ke tahun dapat merumuskan satu hakikat, tanggungjawab para du'at amat berat. Perlunya suatu plan strategi dakwah yang amat rapi dan strategik perancangannya. Para du'at pula perlu mempersiapkan diri dengan ilmu di dada. Ilmu yang pelbagai, uslub dakwah yang kreatif dan lebih menjejak, pendekatan yang bersifat waqi'iyyah dan inklusif. Dengan proses pentarbiyyahan yang konstan serta dakwah yang berterusan merentas halangan, InsyaAllah, harapan untuk melihat satu perubahan sosial ke arah yang lebih baik kembali bersinar.

Bercakap soal perubahan, peralihan tahun dari 2012 ke 2013 merupakan satu simbolik kepada permulaan yang lebih baik dan berusaha menyingkirkan segala kelemahan dan keburukan. Tentunya simbolik ini hanya kekal sebagai simbolik turun-temurun sekiranya kita hanya berpeluk tubuh sahaja. Pendek kata, iltizam untuk melakukan perubahan sahaja tidak mencukupi, ia perlu disusuli dengan satu tindakan yang jitu berasaskan kefahaman terhadap perubahan yang ingin dilaksanakan. Maka, tidak dapat tidak selaku agen perubahan dan jurubicara rakyat, para intelektual dan golongan terpelajar, para du'at terutamanya seharusnya mampu dalam membezakan antara yang haq dengan yang batil. Sekiranya di peringkat du'at sendiri gagal dalam menghadam perbezaan asas ini, maka tidak hairanlah jika tahun hadapan persis kehancuran ummah yang berlaku pada masa kini. Apabila kerosakan ummah terus berleluasa, kebenaran terus diperkosa, dan kepalsuan terus disanjung mulia maka hasilnya lahirlah generasi yang tidak kenal agama dan akar budaya.

Akhir kalam, semoga pengalaman tahun lalu mampu menjadi perisai kepada kita untuk terus bersedia menongkah arus perubahan ke arah yang lebih baik. Besarlah harapan marhaen untuk melihat negara kita, Malaysia menjadi sebuah negara yang membangun dalam erti kata sebenar. Kita tidak mendambakan pembangunan material yang menjadi modal untuk mendabik dada, tetapi kita mahukan pembangunan insaniah yang mampu mewujudkan sebuah negara yang sejahtera dan mendapat keampunan Tuhan (baldatun tayyibatun wa rabbun ghafur). Wallahu ta'ala a'lam.

Revolusi 2013 : Islam dijulang! Takbir!!

Mohamad Ezuan Bin Mohd Saad
Rakyat Marhaen / Al-Faqir Ila Rabbi


No comments:

Post a Comment

back to top