Friday, April 5

PENDIDIKAN POLITIK ATAU DOKTRINISASI KEPARTIAN?


"Kenapa dalam surat kelulusan tiada dinyatakan tarikh pada 3/4/2013 dan tidak juga dinyatakan penceramah yang dijemput adalah seperti di dalam poster? Datang jumpa saya segera. TQ"
-Najwa Ahmad Zawawi, Jabatan Perkhidmatan Pelajar (JPPel) 

Sejarah kesatuan mahasiswa yang terhakis

Mengimbau kembali sejarah penubuhan kesatuan mahasiswa di UKM yang hampir seusia dengan penubuhan UKM, penuh dengan citrawarna agenda mahasiswa beridealisme, kreatif, dan mencabar. Mahasiswa mempunyai kebebasan mutlak, menentukan apakah yang mereka mahukan, dari segi akademik, keperluan, dan kebajikan semuanya ditentukan oleh mahasiswa. Sungguhpun begitu segalanya berjalan lancar, tiada masalah yang meruncing, tetap dalam kawalan. Malah, pelantikan Naib Canselor juga pada masa itu turut mengambil sudut pandang mahasiswa sebagai agen semak dan imbang. Inilah yang dikatakan autonomi universiti yang di dalamnya terkandung autonomi mahasiswa.

Namun, masa kian menghakis sejarah. Sedikit demi sedikit luput dikikis masa. Ditambah pula dengan langkah-langkah sekatan yang merencatkan peranan mahasiswa sebagai golongan yang mempunyai idealisme yang menggunung. Jawatan-jawatan 'kosmetik' yang kononnya dilihat mempunyai peranan yang besar di universiti mula wujud. Atas alasan menitik beratkan hal ehwal pelajar, segalanya dikawal, ditentukan. Hakikatnya masing-masing mempunyai kepentingan di atas kerusi yang sedang di duduki, yang di bawah ingin menjadi orang di atas, yang di atas berebut menagih kuasa. Malah, apa yang lebih mengecewakan adalah penghinaan kepada kesatuan mahasiswa itu sendiri apabila secara rasminya dimansuhkan seawal pertukaran kepimpinan Majlis Perwakilan Pelajar bagi sesi ini.

Universiti ditubuhkan untuk siapa?

Penubuhan Universiti Kebangsaan Malaysia adalah hasil daripada hasrat rakyat untuk melihat tertubuhnya sebuah universiti beracuan kebangsaan bagi melahirkan mahasiswa yang berkualiti bagi mencorakkan masa depan negara. Maka, apalah hasil yang diharapkan seandainya segala-galanya disekat, dikongkong, ditambah perencah doktrinisasi kepartian yang melampau seawal kemasukan mahasiswa baru ke menara gading? Adakah jawapan 'untuk siapa universiti ditubuhkan' ialah untuk kepentingan pihak yang rakus akan kuasa?

Seharusnya, universiti perlu kembali bersifat universal, tempat mahasiswa berkarya, menggagaskan idea, mengembangkan idea, dan mempertahankan idea mereka. Ia perlu bebas daripada cengkaman mana-mana pihak berkepentingan bagi membolehkan mahasiswa menjana gagasan idea yang kreatif demi melahirkan pelapis-pelapis pimpinan negara pada masa akan datang yang mempunyai daya kepemimpinan yang berkualiti. Pihak pentadbiran universiti pula perlu adil dalam membezakan antara pendidikan politik dengan doktrinisasi kepartian. Apa yang dilakukan oleh pihak pentadbiran universiti selama ini hanyalah semata-mata untuk survival parti politik yang memihak kepada selera mereka sahaja. Sedangkan pada asasnya, mahasiswa sudah lama bersetuju bahawa masing-masing berhak untuk memilih kecenderungan mereka terhadap mana-mana pihak akan tetapi perlulah diberi pendidikan yang adil dan bukan pendoktrinan yang berat sebelah.

Universiti Lubuk Kreativiti Mahasiswa

Memetik kata-kata Prof Ungku Aziz,"..biarlah mahasiswa mencabar asalkan sambil itu mereka belajar..". Maka di manakah lagi ruang untuk mereka mencabar dan belajar jika tidak lain dan tidak bukan di universiti. Di sinilah, mahasiswa belajar untuk menilai, serta membuat keputusan. Mereka mempunyai kemampuan yang cukup untuk menggagaskan sesuatu yang besar untuk pembangunan mahasiswa khususnya. Mereka tiada kepentingan peribadi yang perlu dijaga berbanding dengan pihak pentadbiran universiti. Apa yang mereka mahu adalah ruang untuk berkreativiti. Mereka inilah yang bakal menerajui kepimpinan negara pada masa akan datang. Jika hari ini kita menafikan peranan mahasiswa dalam memberi cetusan yang besar kepada pembangunan mahasiswa, maka lahirlah mahasiswa yang hanya tahu mengangguk bila diketuk, menggeleng bila ditempeleng. Bagaimana rupa pemimpin yang lahir hasil daripada pembodohan sebegini? Wallahu a'lam.

Mohamad Ezuan Bin Mohd Saad
Mantan Setiausaha Agung PMUKM







1 comment:

  1. Suasana universiti sudah berubah dari roh asal,yakni untuk melahirkan mahasiswa yang dapat bergerak dengan idealisme sendiri tanpa kongkongan pihak tertentu dan dipacu dengan ilmu yang mantap.

    ReplyDelete

back to top